Tuesday, June 5, 2012

Antara 10 sen dan 1 Dinar…


Sebagai pembuka bicara boleh saya tanya, apa beza pada pandangan sahabat pembaca semua antara seposen (sepuluh sen) dan satu Dinar? Mengikut cerita mak ayah saya dan juga fakta sejarah, 10 sen dan 1 dinar sungguh jauh bezanya. Kalau dahulunya sekitar tahun 60-an, dengan seposen saja banyak makanan dapat dibeli dan mampu kenyang dengan berbekalkan 10 sen sahaja. Namun apa keadaanya pada tahun 2012? dengan nilai seposen, apa yang dapat kita beli? Rasanya nak beli gula-gula pun tak lebih 2 biji yang dapat!

Demikianlah situasi yang berlaku pada wang iaitu medium ciptaan manusia yang hanya dalam masa yang singkat nilainya sungguh jauh berbeza. Dengan jarak hanya 50-60 tahun sahaja nilainya menjunam dan terus menjunam!

Sebaliknya jika satu Dinar, dari zaman Rasulullah SAW lagi nilainya tetap sama sampai sekarang. Jika lebih 1000 tahun dahulu dengan satu Dinar dapat beli seekor kambing, dan sekarang satu Dinar tetap dengan nilai seekor kambing! Anda tidak percaya? Cuba survey harga seekor kambing dan nilai sekeping satu Dinar.

Apa hasilnya? boleh kan beli seekor kambing dengan menjual sekeping dinar yang harganya melebihi RM700. Malah ada juga beberapa tokei atau penjual kambing menerima sekeping dinar sebagai medium pertukaran mengantikan wang ringgit dengan seekor kambing!

Alhamdulilah roh muamalat Islam yang diamalkan pada zaman kegemilangan pentadbiran Islam di bawah pentadbir yang agung dan terunggul Rasulullah SAW kembali menyinar dalam masyarakat sekarang. Situasi sekarang masyarakat dunia disogokkan dengan sistem kewangan yang sungguh rapuh serta tidak stabil, malah ianga mendatang banyak masalah dalam sistem ekonomi dunia secara keseluruhannya.

Saya amat yakin penggunaan logam mulia emas dan perak dalam kehidupan amatlah penting! Aura keberkatan pasti akan turun merangsang dan memberi manafaat yang hebat dalam kehidupan mereka yang mengamalkan dan menyebarkan Sunnah Rasullulah SAW. Sunnah itulah gaya hidup sebenar ummat Islam keseluruhannya jika ingin berjaya di dunia dan juga di alam sana, insyaAllah…

Yakinlah setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW amat besar manafaatnya. Saranan baginda memiliki emas (dinar) dan perak (dirham) perlu diberikan perhatian dan diamalkan dalam kehidupan demi keselamatan dan maslahat manusia keseluruhannya. Sepertimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith yang dipetik dari Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal yang bermaksud “Akan tiba suatu zaman di mana tiada apa yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia. Maka simpanlah dinar dan dirham (untuk digunakan)”.

Sebuah lagi hadith yang menekankan peri pentingnya emas dan perak dalam kehidupan ummat Islam, sebagaimana sabda Nabi SAW dalam sebuah hadith baginda SAW yang diriwayatkan oleh Imam at-Tabrani yang bermaksud “Ketika akhir zaman, manusia harus memilki dirham dan dinar, (dengannya) seseorang menegakkan agama dan dunianya”. Subhaanallah!

Sesungguhnya juga emas dan perak telah disebut-sebut dalam Kitab Suci Al-Quraan berkali-kali antaranya dalam surah Kaffi ayat 31 yang bermaksud, “Mereka itu, disediakan baginya Syurga yang kekal, yang mengalir dibawahnya beberapa sungai mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam mereka berehat di dalamnya dengan berteleku di atas pelamin-pelamin (yang berhias).

Akhir sekali menutup kalam yang ringkas ini, saya dengan rendah hati menyeru kepada semua sahabat dan saudara seagama agar kita bersungguh-sungguh menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dalam setiap ruang masa yang ada bagi mengurus kehidupan agar diberkati dan diredhaiNya, amiin. Sesungguhnya gaya hidup yang jauh dari sunnah baginda pasti berdepan dengan masalah dan membantut usaha memburu kejayaan dan kecemerlangan. Wallaahua’lam bissowab.

Al-Faqir Ilallah,

Zainal Rashid Bin Isa.

Kredit : http://kelantangold.my

No comments:

Post a Comment